Saturday, September 27, 2008

KUALA TERENGGANU –Kerajaan perlu berusaha lebih untuk menurunkan harga minyak selari dengan penurunan harga minyak dunia memandangkan penurunan sebanyak 10 sen seliter tidak memberi kesan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi I Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Dr Abdul Manaf Che Mat meminta kerajaan tidak seharusnya menanggung perkara-perkara lain yang membazir wang negara.


Katanya, pentadbiran dan pengurusan ekonomi yang baik dapat membantu penurunan harga minyak yang banyak dan bukan dalam jumlah kecil yang mengecewakan orang ramai. “Kerajaan perlu menurunkan harga minyak petrol sekurang-kurangnya kepada RM2 manakala harga diesel perlu diturunkan lebih banyak supaya harga barangan dapat dikurangkan. “Kita juga minta kerajaan berusaha lebih untuk turunkan harga minyak kerana ia tidak membawa makna dengan hanya penurunan 10 sen,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, harga minyak dunia telah mengalami turun naik yang ketara namun secara puratanya menurun sedikit berbanding sebelumnya. Dalam laporan Sinar Harian semalam katanya, Jemaah Menteri telah memutuskan penurunan harga runcit sebanyak 10 sen kepada harga petrol RON97, RON92 dan diesel.

Shahrir berkata, nilai ringgit berbanding Dollar Amerika pula menyusut sepanjang tempoh yang sama dan mengaplikasikan formula yang diguna pakai oleh kerajaan dalam menentukan harga runcit sebelum ini, pengurangan sebanyak 10 sen merupakan nilai pengurangan maksimum yang dapat diberikan kerajaan. Menurut Dr Abdul Manaf, kerajaan sepatutnya melakukan penurunan sebanyak 30 peratus atau sekurang-kurangnya 40 sen ketika penurunan harga minyak dunia baru-baru ini. Bagaimanapun katanya, penurunan sebanyak itu tidak akan membantu golongan pengguna di samping tidak membantu peniaga menurunkan harga barangan yang naik secara mendadak akibat kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen baru-baru ini.

BERITA KAKI - Kemudahan SUKMA XII jadi 'gajah putih'

Sudah hampir tiga bulan Sukan Malaysia (SUKMA) XII melabuhkan tirainya dan selama itulah, kebanyakan infrastruktur sukan yang disediakan untuk menganjurkan temasya dwitahunan itu masih terbiar sepi.

Kompleks Lapang Sasar di Gong Kuin, Tok Jembal, Stadium Tertutup di Gong Badak dan Kompleks Akuatik di Batu Burok sehingga sekarang masih sunyi-sepi berikutan tidak dibuka kepada orang ramai. Sedikit pengecualian bagi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang menempatkan Diman Bowls apabila ia sentiasa penuh sesak dengan peminat sukan boling, terutamanya pada cuti hujung minggu.

Persoalannya, mengapakah keadaan ini dibiarkan berlaku dan apakah kerajaan negeri sanggup melihat semua infrastruktur sukan tercanggih ini sekadar menjadi projek ‘gajah putih’? Adalah sesuatu yang amat malang jika keadaan ini dibenarkan berlaku memandangkan kerajaan negeri telah me­ngeluarkan perbelanjaan yang bukan sedikit untuk menyediakan semua kemudahan sukan tersebut.

Sebagai bukti, pembinaan Kompleks Lapang Sasar menelan belanja sebanyak RM6.5 juta, RM270 juta pula diperuntukkan untuk membina Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sementara kerja menaik taraf Kompleks Akuatik pula berjumlah RM18 juta. Kerajaan negeri perlu berbuat sesuatu untuk menangani permasalahan ini sebelum ia dianggap sebagai pembaziran besar-besaran wang rakyat dan digunakan pihak pembangkang untuk menghentam pengurusan kewangan kerajaan negeri. Selain itu, sampai bilakah warga sukan di negeri boleh bersabar menunggu pembukaan kemudahan ini, sedangkan sudah banyak aktiviti dan kejohanan yang telah diatur untuk atlet mereka sebelum ini terpaksa ditangguhkan.

Fikir-fikirlah permasalahan ini mulai sekarang jika kerajaan negeri berhajat untuk mempertahankan kejuaraan mereka sekali lagi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XIII di Melaka pada 2010 kelak.

0 Comments & Messages :

Contact Us

Your Message :
Your Name :
Email Address :

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Flyers And Posters

Flyers And Posters